Sunday, March 28, 2010

Impak IT Dalam Pengajaran



Selain daripada memainkan peranan yang penting dalam bidang pengurusan, IT dan teknologi juga berperanan yang sama penting dalam bidang pendidikan. Dalam pendidikan, IT boleh digunakan untuk mengumpul, menyimpan, memproses dan menyalurkan serta menyebarkan maklumat secara pantas seperti hantaran elektronik (e-mail) atau CD Rom untuk membantu proses pengajaran dan pembelajaran.

IT juga boleh digunakan untuk menyelesaikan masalah pengajaran dan pembelajaran dengan menggabungkan kaedah dan teori pengajaran dengan teknologi komunikasi seperti pengajaran berasaskan komputer. Kebolehan menstruktur dan menyusun maklumat untuk tujuan pengajaran dan pembelajaran merupakan kemahiran yang perlu ada pada setiap orang guru dalam zaman maklumat ini.

Sistem pendidikan kini mengalami perubahan berikutan dengan perkembangan teknologi komputer dan telekomunikasi. Secara tidak langsung ia mempengaruhi kurikulum serta proses pengajaran dan pembelajaran dan sekolah akan dibanjiri oleh maklumat yang dibawa oleh teknologi-teknologi maklumat baru. Oleh itu proses pengajaran dan pembelajaran memerlukan pendekatan yang lebih inovatif untuk mengambil peluang daripada perkembangan teknologi maklumat serta untuk menghadapi cabaran ini. Guru, pelajar, Pusat Sumber Pendidikan, ibu bapa dan Kementerian Pelajaran mestilah menilai semula peranan masing-masing bersesuaian dengan revolusi zaman maklumat.

Dalam memainkan peranan yang penting sebagai penyampai pengajaran, guru seharusnya berperanan bukan sahaja sebagai sumber utama memberi dan menyampaikan maklumat tetapi juga bertindak sebagai pemudah cara atau pengurus untuk mendapatkan maklumat.

Guru boleh menggunakan komputer untuk persembahan bahan kuliah, soal jawab dengan pelajar dalam bentuk dialog, menyemak jawapan pelajar dalam sesuatu ujian, mengulang bahan pengajaran yang diperlukan dan lain-lain lagi. Malah, berbagai-bagai bentuk maklumat seperti teks, suara, muzik, grafik dan animasi boleh digabungkan dalam pengajaran bagi menjadikan pengajaran dan pembelajaran menyeronokkan dan menambahkan minat pelajar.

Keduanya, guru mempunyai kebolehan menyusun semula ledakan maklumat yang diperolehi dari berbagai sumber supaya dijadikan maklumat berstruktur untuk tujuan pengajaran. Pengetahuan dalam reka bentuk pengajaran boleh membantu guru membina bahan-bahan pembelajaran seperti hypermedia atau multimedia.

Ketiganya, guru boleh menggunakan teknologi komunikasi seperti CD Rom, cakera padat, hantaran melalui telesidang audio, video dan komputer untuk memudahkan proses penerimaan, penyaluran atau penyebaran maklumat kepada pelajar. Kemudahan yang dibekalkan oleh teknologi-teknologi telekomunikasi ini dapat meningkatkan lagi proses pengajaran dan pembelajaran.

Melalui perkembangan teknologi ini juga, guru dapat menyampaikan pengajaran yang dapat memupuk kecekapan dan minat pelajar terhadap pembelajaran melalui pembacaan, menonton, menggunakan maklumat dan idea bagi meningkatkan pengetahuan serta menjana minda yang lebih memberangsangkan.

Melalui pengajaran dan pembelajaran menggunakan teknologi komputer seperti ini, guru juga dapat memupuk pelajar yang bijak mengesan, mencari, memilih, menilai dan menggunakan maklumat yang sesuai secara berkesan untuk menyelesaikan sesuatu masalah atau membuat keputusan tanpa mengira daripada mana sumber tersebut diperolehi. Pelajar juga mempunyai kemahiran belajar dan menjalankan ujikaji serta penyelidikan ke arah pembentukan diri menjadi pengguna maklumat yang berkesan.

Selain daripada itu, pendekatan pengajaran yang disampaikan oleh guru juga akan merubah tingkahlaku dan kognitif pelajar kepada konstruktif di mana pelajar digalakkan berfikir dan membina model mental sendiri dengan menggunakan teknologi maklumat. Cara pelajar belajar tidak lagi terikat dalam kelas tetapi belajar di Pusat Sumber Elektronik melalui maklumat yang disalurkan oleh satelit ke pusat sumber eletronik.

1 comment:

  1. memang tidak dinafikan kepesatan teknologi dapat membantu pengajaran guru dan murid dapat belajar dengan lebih pantas dan memahaminya. sejauhmana ia berguna kepada guru dan pelajar masih dalam persoalan kerana perkembangan ICT itu sendiri tidak menjamin pengguna dapat membentuk disiplin, sahsiah dan kebolehpercayaan pengguna.

    ReplyDelete