Saturday, April 24, 2010

Integrasi ICT dalam P&P

Integrasi ICT dalam pengajaran dan pembelajaran perlu dilihat dari perspektif yang lebih luas iaitu menggunakan ICT secara berfikrah, terancang dan bersesuaian untuk meningkatkan kecekapan proses dan keberkesanan dalam P&P (Pusat Perkembangan Kurikulum, 2001). Matlamat utama mengintegrasi ICT dalam kurikulum adalah untuk membantu murid memperkembangkan kebolehan dari segi mengguna, mengurus dan memahami ICT. Adalah penting bagi murid untuk menguasai kebolehan-kebolehan ini semasa proses pembelajaran dalam setiap bidang kurikulum (Jonassen,1996). Peranan ICT dalam P&P akan membawa kepada kaedah-kaedah yang baru dan inovatif dalam pembelajaran dan penilaian. Namun begitu kehadiran ICT sahaja tidak dapat membantu proses transformasi ini. Perkara yang penting dalam integrasi ICT ialah setiap strategi itu harus menjurus kepada keperluan P&P dan sebagai satu cara untuk guru dan pelajar menyelesaikan masalah semasa proses pembelajaran serta memperolehi hasil yang bertepatan dengan isi kandungan.

Sumber: Dr. Rusmini Ku Ahmad,Pensyarah,Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara
Jitra, Kedah,Kementerian Pendidikan Malaysia

Friday, April 16, 2010

Peranan Guru Besar dan Intergrasi ICT Berkesan

Guru besar yang mengamalkan gaya fasilitator, perubahan perangsang dan pengurus akan menghasilkan kejayaan dalam usaha integrasi ICT di organisasi masing-masing. Sebagai contoh, seorang guru besar dengan gaya perangsang dapat mengenal pasti matlamat jangka panjang ( visi ) dan melaksanakan strategi pendidikan berasaskan komputer secara khusus melalui perancangan strategiknya. Pentadbir akan mempengaruhi semua staf untuk menerima dan melaksanakan pendidikan berasaskan ICT sebagai keutamaan disamping murid-murid serta ibu bapa.
Cabaran masa kini dan akan datang dalam sektor pendidikan ialah penyediaan prasarana komputer yang lengkap untuk kaedah pembelajaran dan pengajaran tersebut. Walau bagaimanapun, penyediaan kemudahan mengekses internet sahaja tidak menjamin keberkesanan pembelajaran pengajaran secara on-line. Sikap guru dan pelajar terhadap penggunaan teknologi tersebut perlu dipertimbangkan untuk memastikan keberkesanan sebagai kaedah pengajaran pembelajaran. Multimedia dapat menambahkan nilai dalam p&p tetapi dengan hanya menambahkan multimedia kepada program pembelajaran yang tidak berkualiti, ianya tidak dapat meningkatkan pembelajaran. Teknologi hanyalah suatu faktor pemangkin ke arah mempercepatkan proses keberkesanannya, manakala kemahiran dari aspek pedagogi serta psikologi adalah diperlukan.
Oleh itu guru harus mampu mengintegrasikan ketiga-tiga aspek pedagogi, psikologi dan teknologi dalam proses penyampaian ilmu. Usaha ini harus dilakukan secara berterusan ke arah melahirkan pelajar yang berfikiran kritis dan kreatif, seimbang dari segi intelek, rohani, jasmani dan emosi seperti mana yang dikehendaki dalam Falsafah Pendidikan Negara.